Press "Enter" to skip to content

Cerita Kontot I – Dia Suamiku Akhirnya

(Sahabat semua! Nikmati certot – cerita kontot – kerja rumah dua watak lewat bengkel penulisan cerpen sepurnama yang lepas. Certot sulung!)

Dia Suamiku Akhirnya

Salman, anak Pak Akil, pengerusi JKKK Kampung Nipah, popular di kalangan kaum ibu. Dia ringan tulang, wajahnya pula tak tumpah seiras hero filem Hindustan, Salman Khan. Tetapi, wataknya pelik. Dia tidak pernah senyum. 

Pak Agi, naib pengerusi JKKK, berkeras juga ingin bermenantukan Salman.

“Lela, kau kenal Salman anak Pak Akil hujung kampung?”
“Siapa tak kenal dia abah!”
“Lela tak berkenan dengan dia?”
“Ish abah ni, buang tabiat! Soalan tak relevan.”
“Yalah, Lela tu dah sampai wahyu. Abah fikir Salman sesuai.”
“Tak mahu. Dia pelik.”
“Apa yang peliknya?”
“Dia tak pernah senyumlah abah.”
“Lela buatlah dia tersenyum.”
“Lela bukan raja lawak, hendak disenyumkan diketawakan.”
“Apalah salahnya.”
“Tak mahu, cuba abah fikir, kalau naik pelamin, pengantin lelaki tak senyum, macam zombie dari mula sampai habis, tak mahulah Lela.”
“Dia rajin. Boleh bantukau berniaga kelapa parut dan santankau.”
“Tak mahu, tak mahu. Orang berniaga perlukan senyuman sepanjang masa. Sampai hari ini, Lela dan kawan-kawan kampung ini tak pernah tengok dia senyum, apatah lagi ketawa.”
“Air tenang jangan disangka tidak ada buaya.”
“Langkah mayat Lela dulu abah!”
“Ish, budak ini!”

Lusa, Lela terjatuh basikal dalam perjalanan untuk berniaga ke pasar Rabu Kampung Nipah. Sesusuk tubuh lelaki berlari lalu menghampiri Lela, lantas menghulurkan tangannya. Dia tersenyum.

“Salman.”