Press "Enter" to skip to content

Cerita Kontot IV – Boomerang

Boomerang

“Hidup ini macam boomerang,” getus Jeff.

Ujaran falsafahnya menamatkan keheningan malam penuh bintang di atas bumbung rumah Hazmi.

“Maksud tuan hamba?” celah Hazmi dengan senyuman sinisnya.

Jeff sememangnya begitu. Dia selalu mematikan kedamaian yang sedikit dengan falsafah marhaennya.

“Takkan engkau tidak tahu boomerang itu apa!” dengan lembut Jeff menangkis kesinisan soalan Hazmi.

“Lagikan PhD engkau genggam hingga menjadi bara.”

“Aku ingin tahu isinya.”

“Engkau pernah menelaah karya-karya Paul Virilio?”

“Tidak pernah. Ceritakanlah.”

“Virilio seorang arkitek filosof moden dari Perancis, jika tidak silap aku.”

“Apa yang dia falsafahkan?”

“Dia mengenengahkan idea ‘The Grand Accident.'”

“Lagi.”

“Susunan, aturan, perancangan, apa sahaja yang berstruktur akhirnya membawa malang yang agung, kehancuran yang mega.”

“Aku tidak faham.”

“Seperti sebatang boomerang, ditempa dengan kemahiran, dengan ukuran, susunan, ukiran penuh seni, malah saintifik.”

“Ya.”

“Dicipta khas sebagai senjata, yang boleh pulang sendiri.”

“Bukan begitu pintar ciptaan itu!”

“Ia makan tuannya.”

“Oh!”

“Itulah kehidupan hari ini. Ia makan tuan. Laksana idea Virilio tentang ‘The Grand Accident’. Seperti boomerang.”

 

“Oii Jeff, Hazmi, turun makan, aku sudah masak, nanti sejuk,” laung Nan dari anjung teratak tepi hutan ini.

Malam yang semakin tua, semakin damai menunggu tibanya siang.