Press "Enter" to skip to content

Cerita Kontot IX – Keris Piatu

(Kali ini certot TEMPUR eksperimen)

Eka, susuknya tidak tinggi, tidak rendah, tidak juga sasa. Langkahnya damai dan lembut seperti tiupan angin senja yang gemalai.

Tidak ada siapa yang pernah melihat wajahnya yang sering dibungkus serban kelabu lama. Hanya cahaya mata Eka yang jelas, tetapi sering suram seperti diselimuti kehilangan sesuatu yang berharga.

Lidahnya juga berat, tidak banyak berkata-kata. Eka lebih suka sendiri dan tidak ingin dipedulikan.

Tidak ada yang tahu asal usulnya.

Apabila bertempur, lain kisahnya. Seni keris piatunya berbisa.

Gerimis masih di langit apabila Eka menyelinap melalui pintu gerbang Telok Berembang. Kala Maghrib hanya sepenanak dua nasi.

Tercegat di hadapan rumah Pak Tua, dia mempunyai misi mencabut nyawa Teja.

“Siapakah gerangan tuan hamba?” ujar Teja yang kebetulan menyarung sepatu, mahu ke surau kampung dalam gerimis, tetapi terhalang oleh lembaga yang satu ini.

Eka membisu. Tangan kirinya sudah berada di hadapan memegang sebilah pedang pendek yang asing di rantau ini.

Tangan kanannya disembunyikan, bersedia mencabut keris piatu yang disisip di belakang seperti keris Jawa. Kuda-kuda kirinya juga sudah dipasang.

Eka membongkok, pandangannya ke leher mulus Teja.

“Mengapa tuan hamba menghunus senjata asing itu?” terjah Teja.

Teja bukan sembarang gadis. Tuah dan sahabat berlima Melaka pernah tewas bertempur dengan Teja. Lidah seorang Feringgi celupar juga pernah diputuskan Teja.

Garang Teja ini.

“Tuan hamba tidak kenal aku siapa?” Teja mula bongkak.

“Tuah dan gerombolan lima pernah aku bisukan.”

“Jangan cabar aku.”

Tetapi itu tipu muslihat Teja. Dia sebenarnya ingin membedah gerak tempur Eka.

Namun, Eka tidak boleh dibaca.

“Ibu.” bisik Eka.

Bisikannya tenggelam dalam gerimis senja.

Teja tersentak.

Sekonyong-konyong, pedang ditusuk, keris piatu dihunus.

Eka bertempur lagi.