Press "Enter" to skip to content

Cerita Kontot VII – Fotosintesis

Fotosintesis

Pada tahun 2088, dunia diranapkan oleh perang biologi. Hampir 90 peratus daripada 3 bilion manusia mati. Begitu juga, tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Anehnya, sebahagian besar dunia Nusantara terselamat daripada kemusnahan ini, akan tetapi nestapa yang berbeza menimpa sejumlah kecil manusia Melayu: mutasi sistem endokrin.

50 tahun kemudian, kelompok manusia Melayu remaja yang ganjil mula membenih ledakan sosial yang pelik juga.

“Cempaka, mengapa dahimu berkerut, wajahmu seakan murung seperti dirundung duka?”

“Tuhan menurunkan petaka yang amat besar kepadaku.”

“Begitu, tetapi, bukankah dunia sudah aman? Sudah tidak ada lagi pandemik virus yang baharu.”

“Hamba manusia spesis yang baharu, homo fotoautotrof. Dahulu kala, ada wayang X-Men. Kini, fantasi menjadi realiti.”

“Hah? Fotoautotrof?”

“Hamba tidak perlu makan seperti tuan hamba. Berjemur sahaja sudah mengenyangkan hamba.”

“Begitu?”

“Ya, tubuh hamba boleh melakukan fotosintesis. Jadi, hamba makhluk fotoautotrof.”

“MasyaAllah!”

“Ya, oleh sebab kedurjanaan manusia dahulu, virus Addison sintetik menyerang sistem endokrin manusia yang kemudian bermutasi sebagai respons pertahanannya.”

“Fakta itu hamba tahu, namun tidak jelas. Tidak pula hamba sangka Cempaka gadis X-Men!”

“Tidak mengapa. Cuma satu persoalan hamba, bagaimana hamba mahu berpuasa?”

“Pencerahan?”

“Fotosintesis manusia aneh. Ia berlaku pada waktu siang, juga malam. Hamba sentiasa makan. Bagaimana?”

“Minum?”

“Seperti homo sapiens.”

Ketawa.

 

“Jadi, Cempaka puasa air sahajalah. Hehehe!”

“Noh kenal mana-mana ustaz ulamak fotoautotrof?”

“Ini zaman pasca-apokalips, ustaz ulamak mufti yang sentiasa menghukum sudah tidak relevan lagi!”

“Tapi Noh, hamba homo Islamikus juga!”

“Andaian asas hukum hakam dan usul fiqh juga sudah tidak relevan untuk kelompok fotoautotrof seperti Cempaka.”

“Tetapi Noh, bukankah Islam untuk semua zaman?”

“Ya, tetapi dengan andaian manusia selamanya homo sapiens!”

“Hamba masih tidak puas hati dengan amarah Noh. Mesti ada jawapannya!”

 

Azan maghrib yang berkumandang dari peranti komunikasi kristal Cempaka dan Noh mengejutkan suasana.

Noh bergegas membuka tablet makanan lalu beriftar.

Cempaka kebingungan, seraya menyentuh aplikasi lentera pendarfluor perantinya kerana indikator glukosa dalam badannya menghampiri aras hipoglisemik.