Press "Enter" to skip to content

Cerita Kontot VII – In Memoriam

In Memoriam

Cahaya masih lena dalam kotak kegemarannya.  Badannya yang gebu tidak bergerak langsung, apatah lagi ekornya yang melingkar serta menutupi sebahagian dua kaki belakangnya.

Itu katil, itu rumah, tempat hatinya damai.

Zainal masih ingat lagi kotak dua kaki persegi yang dibawa balik dari pasar raya Giant satu bulan yang lalu.  Asalnya, dia mahu menyimpan surat-surat lama yang sudah berhabuk dari atas gobok di loteng.

Ditinggalkan kotak itu buat sementara waktu di bawah tingkap tepi rumah yang menghadap surau taman lebih kurang sepelaung.

Selang dua hari, Cahaya yang menghuni, melepas lelah apabila perburuan Sang Beluncas tidak berhasil.

 

“Cahaya, aku tidak mahu balik kampung hari raya ini,” cetus Zainal memecah hening petang.

Ekor Cahaya bergerak sedikit seperti bertanyakan kenapa.

“Jalan raya sesak. Aku tidak mahu memandu. Penat.”

Ekor Cahaya masih di situ. Alasan biasa.

“Tetapi sebenarnya Cahaya, aku merajuk.”

Telinga kiri Cahaya pula yang bergerak, seakan bertanya betulkah.

“Betul!”

Telinga kiri Cahaya mencuit sekali lagi bertanyakan soalan yang sama.

“Aku merajuk sebab Bonda tidak pedulikan aku.”

Kaki kiri hadapan Cahaya diangkatnya ke pipi gebunya seraya menggerakkan sedikit misainya.

“Selalunya kalau Bonda telefon, duit yang diminta, bukan khabar yang ditanya.”

Cahaya masih dengan kaki kiri di pipi.

“Aku kepenatan.”

Cahaya diam lagi.

 

Tiba-tiba, getaran telefon pintar Zainal memecah suasana yang sepi.

“Bonda. Apa yang Bonda mahu?”

“Ya, Nal janji balik kampung pada hari raya ini.”

“Nal naik Firefly malam ini, dan akan bawa Cahaya sekali.”

 

Angin petang sepoi-sepoi bahasa yang berbau rendang Pak Ali masakan orang sebelah menangkap deria rasa Cahaya.

Seperti terkejut dari lena yang lama, Cahaya bingkas bangun dengan ria bersenam ala kucing jantan, meregang seluruh badannya lalu mengangakan mulut yang seri dengan taringnya.

 

Kotak Giant Cahaya akan kosong sehingga 2 Syawal ini.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri!