Press "Enter" to skip to content

Cerita Kontot X – Pelita

Pelita

(Certot tentang kemiskinan anak setinggan bandar)

Emak menyalakan satu pelita lagi. Tetapi, apinya tidaklah seterang pelita kaca.

Pelita kaca yang lagi satu sudah semakin malap kerana minyaknya hampir kering.

Mentol lampu gas pula sudah terbakar semalam tetapi abah tidak mampu menggantikannya serta-merta.

Kedai Batu tutup awal.

Abah pula hari ini kerja malam, dan kalau dia kerja malam, siang dia tidur.

Terang semalam tidak serupa terang malam ini.

 

“Along pakailah pelita tin ini. Minyaknya ada lagi. Along kena habiskan kerja rumah Ilmu Hisab yang cikgu beri tadi, bukan?”

“Emak hendak menguli tepung itu bagaimana pula?”

“Tidak mengapa. Tepungkan bercahaya.”

Emak bergurau.

Aku tersengeh.

“Kalau pelita tin itu padam, pakailah sahaja lampu suluh Angah,” kata emak.

“Baterinya ada lagi.”

“Bukankah baterinya sudah dikeluarkan Angah untuk membunyikan radio abah?” kucuriga.

“Siang tadi dimarahinya Along. Dia tidak mahu tertinggal drama radio bersiri Sang Kancil kesukaan dia,” tambahku.

“Dikeluarkannya keempat-empat biji bateri lampu suluh dia,” kuadukan kenakalan Angah.

Emak tersenyum dalam kelam rumah setinggan kami di tepi bukit berhampiran Masjid Al-Rahimah Kampung Pandan.

Celotehku dengan emak tidak didengari Angah.

Dia sudah tertidur dalam kelambu kerana penat bermain kereta-kereta bongkah kayu di luar dan bermain panjat-panjat pokok jambu denganku petang tadi.

“Kalau tidak ada juga, pergilah ke rumah Mak Andak di atas. Minta pinjamkan satu pelita,” nasihat emak.

“Tidak mengapalah emak. Sempat lagi pelita ini menyala sebelum habis kerja Along,” balasku.

“Kalau Along ke rumah Mak Andak, lain pula ceritanya nanti. Disuruhnya duduk makan beras mentah dengannya,” ceritaku.

Emak ketawa.

Sebaik sahaja latihan terakhir Ilmu Hisab kuselesaikan, pelita tin yang satu ini terus terpadam.

“Berpelitakan bulan malam ini ya Along.”

Aku menguap lalu bergegas masuk tidur.

Sebelum tidur, aku meraba-raba mencari tuala kecil untuk mengelap kedua-dua lubang hidungku yang penuh jelaga dari asap pelita tadi.

 

Sebelum terlelap, hatiku langsung tidak pernah berharap bahawa pelita malam ini akan hidup semula esok.