Press "Enter" to skip to content

Cerita Kontot XI – Penjara Jiwa

Kanto Prolog

Cahaya menerjah masuk, menerobos jendela merah jambu yang semakin kusam.

Ekornya ditegakkan dan dilenggok manja sambil mengiau-iau tanda kelaparan.

Selang beberapa detik, Cahaya duduk terpegun di hadapan ikan mabong goreng yang disaji Zainal.

Dalam jiwanya, jamah atau tidak.

“Apa yang Cahaya tenung-tenungkan?” ujar Zainal memecah bening senja.

“Ubatlah perutmu dengan mabong yang kugoreng pagi tadi,” lenggok bahasa Zainal seperti bersastera.

“Makanlah!”

“Bebaskan dirimu dari penjara jiwa.”

Cahaya masih membatukan dirinya.

Tiada lenggok ekor mahupun gerak telinga yang mengiyakan ujaran Zainal.

Azan maghrib kembali.

Zainal bingkas bangun untuk ke sungai mengambil air sembahyang.

Dia ke surau.

Cahaya masih lagi terpegun di situ.

Mabong di hadapannya bagai penjara jiwanya.

 

Kanto Epilog

Selepas isyak, kakinya dilangkah malas dalam kegelapan malam yang masih muda.

Sampai sahaja di bibir pintu, daun pintu dengan tirai merah jambu yang juga kusam diselaknya.

Cahaya dan mabong masih lagi di situ. Kaku dan cengut.

“Ahh Cahaya! Engkau masih di situ,” tegur Zainal.

“Kalau sudah sejuk mabongmu, manakan sedap pada lidahmu,” katanya sinis.

“Mabong yang kugoreng tidak sedapkah di matamu?”

Cahaya tersentak dari pegun yang lama.

Diangkatnya dua belah telinganya sedikit.

“Atau parang yang kauinginkan?”

Tiada iau mengiyakan tuannya.

“Mungkin hatimu yang tergila-gila, didobrak sang jantan hujung kampung!” simpul Zainal.

“Mabong kausangkakan ia,” ngomelnya.

“Buangkanlah dunia itu.”

“Hijab jiwa, kesemuanya.”

Cahaya masih lagi termenung di situ.

Mabong di hadapannya bagai penjara jiwanya.