Press "Enter" to skip to content

Cerita Pendek XIII – Penghujung Waktu

 

“Aumm!”

“Cahaya, apakah engkau sudah berubah? Ngiau menjadi ngaum?”

“Sungguh aku tidak percaya.”

“Atau, aku yang sudah gila?”

Ngomel Pak Zainal sebaik sahaja terkuak pintu usang terataknya di tepi kampung.

Ramadan kali ini, Pak Zainal tidak pernah tertinggal walau serakaat tarawih.

Penuh 20 rakaat dengan witirnya sekali.

Hebat Ramadan Pak Zainal kali ini.

Cahaya seperti biasa tercegat di hadapan ikan kembong goreng hadiah Pak Zainal setiap kali berbuka puasa.

Ia bertafakur di hadapan ikannya sehingga Pak Zainal pulang dari surau di pinggir sungai.

Entah transformasi apa yang ia mahukan daripada ikan kembungnya setiap malam semenjak 1 Ramadan.

“Aumm!”

“Makanlah si ikan itu, Cahaya!”

“Suaramu pun sudah berubah menjadi pak belang.”

“Perutmu sudah garang menanti, makanlah!”

“Aumm!”

“Mungkin ini penghujung waktu, penghujung jalan bagimu.”

“Cepatlah sudahkan apa yang bergelodak dalam perutmu sebelum terlambat.”

“Takut-takut kucing comel kiut-miut sepertimu benar-benar menjadi pak belang jadian.”

“Orang kampung sudah pasti memfitnah aku membela harimau jadian kalau engkau bertukar.”

“Kasihanilah aku yang di penghujung rindu ini.”

“Janganlah engkau gelorakan lagi hidup aku.”

“Aku hendak membentang tikar sejadah sahaja.”

“Aku hendak membaca segala hizib wali kutub, segala wirid kiyai pesantren dan segala isim hulubalang Melayu yang pernah kuterima daripada ustaz Wan.”

“Tiada lagi amarah, tiada lagi takbir, tiada lagi takfir, tiada lagi hidup Melayu, tiada lagi pencak silat, fitnah-menfitnah semuanya kelat bagiku.”

“Sudah tiada makna lagi dunia ini di penghujung waktuku.”

“Faqir!”

“Aumm!”

Cahaya menggonggong ikan kembungnya lalu dengan tangkas membawa diri entah ke mana melalui jendela yang separuh terbuka.

Dari jauh, ngauman sebenar menggegarkan kampung.

“Aumm!”