Press "Enter" to skip to content

Puisi – Balada Selipar Biru

Semalam, aku selipar biru
Bersenandung di luar pagar surau
Sebelah kiriku di tepi pagar
Sebelah kananku di gigi longkang
Hujan ramadan, sejuknya hingga ke tulang

Dulu kelmarin, aku selipar biru
Tidak begitu
Kaki yang biasa memakai aku
Berlari, berderap membelah malam pilu
Mengejar tarawih di surau
Ditinggalkannya aku di pintu
Tidak mahu tertinggal rakaat walaupun satu
Kiri dan kanan masih bersatu

Kelmarin, aku selipar biru
Ditinggalkan sekali lagi di pintu
Entah apa silap aku
Mata rakus pencuri selipar meratahku
Aku menghilang kiri dan kanan
Hati dan tubuh tiada lagi bersatu
Sedarku, kaki yang biasa mengangkatku kaki lain
Lorong yang biasa kurajai lorong lain
Jalan yang biasa kugagahi jalan lain
Pasrahku dan benciku berbaur
Seperti hati pencuri selipar yang kabur

Semalam, aku selipar biru
Berderai jiwa bercerai badan
Kiri utara kanan selatan
Terbujur kaku terlempar di situ

Hari ini, aku termangu lidahku kelu
Tiada kaki sudi memijakku
Menunggu Algojo dan akhir waktu

Hasnan Hakim
4 Julai 2016