Press "Enter" to skip to content

Sample Translation – Matecat Translation World Cup 2014

This is my sample translation for the Matecat Translation World Cup 2014 Contest. The original English version is here.

Sang Nujum Piala Dunia

Masihkah anda ingat Sang Sotong Kurita bernama Paul? Ia bintang Piala Dunia 2010 kerana ia berupaya meneka pemenang perlawanan yang melibatkan negara Jerman. Ia juga meneka pemenang perlawanan akhir. Kerjayanya bermula pada Euro 2008, dengan ramalannya yang tepat melibatkan 11 ​​daripada 13 perlawanan. Ia biasanya membuat pilihan antara dua kotak yang mengandungi makanan dengan bendera kebangsaan setiap pasukan yang terlibat dalam setiap perlawanan. Malangnya, ia mati pada akhir tahun 2010.

Paul rupa-rupanya tidak bersendirian. Sang Buaya bernama Harry juga meneka pemenang Piala Dunia 2010. Selain itu, ia dapat meramalkan keputusan dua Pilihan Raya Persekutuan Australia berturut-turut. Namun, ia tidak langsung mempunyai daya tarikan seperti Sang Sotong Kurita dari Jerman. Mani, Sang Burung Kakak Tua dari Singapura yang meneka semua perlawanan suku akhir dan separuh akhir Piala Dunia 2010, juga tidak dapat melakukan yang lebih baik kerana ia gagal meneka siapakah yang berjaya antara Sepanyol dengan Belanda pada perlawanan akhir.

Semenjak pemergian Paul yang terlalu pantas, terdapat persaingan yang hebat dalam kalangan siapa yang akan mewarisi takhtanya. Pada Euro 2012, terdapat tiga ekor haiwan yang berentap dalam perlumbaan ini: Citta, Sang Gajah dari India yang hidup di sebuah zoo di Krakow, Poland. Fred, Sang Feret dari Ukraine yang boleh diikuti di Twitter. Dan Funtik, Sang Khinzir Nujum dari Ukraine yang dapat meramalkan dengan tepat 2 daripada 3 perlawanan.

Siapakah yang akan mengambil tempat Paul, Sang Sotong Kurita pada Piala Dunia akan datang? Adakah ia Sang Burung Nuri yang diberkati Paus Francis di Dataran Saint Peter, kini bertaraf bintang penyiar awam kebangsaan Itali? Atau adakah ia Nelly, Sang Gajah dari Jerman yang sehingga kini telah meramalkan dengan tepat 30 daripada 33 keputusan perlawanan? Dan sudah tentu, janganlah dipandang rendah kuasa psikik Sang Panda Kecil yang disokong oleh media kerajaan China.

Sang Burung Nuri dari Itali bernama Amore (bermakna cinta dalam bahasa Itali) pula akan menentukan ramalannya dengan memilih bendera pasukan yang menang di sebuah padang bola sepak mini. Nelly pula suka meramalkan pemenang dengan menendang bola ke dalam salah satu daripada jaring dengan bendera negara-negara yang bertanding diletakkan di hadapannya. Dalam pada itu, Sang Panda Kecil akan meneka keputusan perlawanan dengan memilih makanan dari kotak yang ditandakan dengan bendera semasa perlawanan kumpulan dan dengan memanjat pokok lalu melayangkan bendera pada pusingan kalah mati.

Adakah anda memiliki haiwan peliharaan?
Adakah ia mampu melakukan yang lebih baik? Bagaimana?
Biarkan mereka beradu nasib!