Press "Enter" to skip to content

Sample Translation – Proz.com Translation Contest 2014

This is my entry which is a Malay translation of this source text in conjunction with Proz.com Translation Contest 2014 recently.

Entah siapa yang pertama sekali melontarkan buah tomato penentu yang mencetuskan revolusi La Tomatina. Hakikatnya, tidak ada seorang pun yang tahu. Mungkin, ia pemberontakan anti-Franco, ataupun pesta yang bertukar menjadi kucar-kacir. Menurut versi cerita yang paling popular, semasa pesta Los Gigantes (iaitu perarakan patung mâché kertas gergasi) pada tahun 1945, orang tempatan berniat untuk berkelahi bagi menarik perhatian ramai. Mereka terserempak dengan pedati sayur-mayur berhampiran lalu mula melontar buah tomato yang ranum. Para pemerhati yang tidak tahu apa-apa terlibat sama sehingga tempat kejadian menjadi bertambah besar dengan huru-hara buah-buahan yang berterbangan. Pencetus kejadian terpaksa membayar balik kepada pembekal buah tomato, namun ini tidak menghalang berlakunya lebih banyak pergaduhan buah tomato–maka lahirlah satu tradisi yang baharu.

Takut dengan keadaan yang mungkin berubah menjadi luar kawalan, pihak berkuasa menganunkan, mengendurkan, dan kemudian menguatkuasakan semula siri pengharamannya pada tahun 1950an. Pada tahun 1951, orang tempatan yang melanggar undang-undang tersebut dipenjarakan sehinggalah bantahan awam mendesak pembebasan mereka. Peristiwa kebiadapan pengharaman buah tomato yang terkenal berlaku pada tahun 1957 apabila penyokongnya menganjurkan upacara pengkebumian buah tomato tiruan yang lengkap dengan keranda dan perarakan. Selepas tahun 1957, kerajaan tempatan memutuskan untuk menghadapi kenyataan, lalu menetapkan beberapa peraturan, lantas menerima tradisi yang aneh ini.

Walaupun buah tomato adalah fokus paling utama, pelbagai pesta selama satu minggu menyusuli sebelum acara kemuncak yang akhir. Sambutan perayaan keramat pelindung Buñol, iaitu Madonna dan St. Louis Bertrand, dengan perarakan jalanan, muzik, dan pertunjukan bunga api diadakan dengan penuh kegembiraan ala orang Sepanyol. Untuk bersedia dengan kudrat menghadapi pergaduhan beramai-ramai itu, satu paella yang agung dihidangkan pada ambang pertempuran, iaitu hidangan Valencia yang ikonik yang terdiri daripada nasi, makanan laut, safron dan minyak zaitun.

Hari ini, pesta tanpa batasan ini sudah pun jauh lebih teratur. Penganjur telah berusaha lebih jauh lagi sehingga menanam satu jenis tomato istimewa hanya untuk acara tahunan ini iaitu tomato yang tidak enak dimakan. Perayaan bermula sekitar jam 10 pagi apabila peserta berlumba-lumba merebut ham yang diikat pada mercu tiang yang bergris. Para pemerhati pula menyimbah air pada pelumba menggunakan hos sambil menyanyi dan berdansa di jalan raya. Apabila loceng gereja berbunyi pada jam 12 tengah hari, trak yang dibebani dengan buah tomato masuk ke bandar. Pada masa yang sama, teriakan “To-ma-te, to-ma-te!” memuncak menjadi kresendo.

Kemudian, apabila meriam air ditembak, acara utama bermula. Itu lampu hijau untuk peserta menghancurkan dan melontar buah tomato dalam serangan bermati-matian terhadap para peserta yang lain. Pelontar lob buah tomato jarak jauh, pembunuh jarak dekat, dan pembaling cangkuk jarak sederhana. Apa jua teknik yang digunakan, anda pasti kelihatan (dan berasa) amat berbeza sebaik sahaja ia berakhir. Hampir satu jam kemudian, para pengebom yang basah kuyup dengan tomato bersuka ria dalam lautan salsa jalanan yang berdecit yang tidak langsung menyerupai buah tomato lagi. Tembakan meriam yang kedua menandakan berakhirnya pertempuran ini.